Himpunan Hadis
Tuesday, August 16, 2011
Perang Badar: Penentu Nasib Islam (17 Ramadhan Hari Memperingati Pejuang Badar)
Assalamualaikum
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Mungkin ramai yang tahu tentang perang BADAR ialah perang pertama Islam menentang kafir quraisy tapi sejauh mana sirah ini dihayati?Tahukah anda bahawa peperangan ini bukanlah peperangan yang diduga oleh Rasulullah?Tahukah anda bahawa tentera Islam hanya mempunyai 2 ekor kuda ketika itu? Tahukah anda bahawa Rasulullah menangis sampai teresak-esak memohon janji daripada Allah?Tahukah anda bahawa para sahabat begitu takut menghadapi peperangan ini?
Perang BADAR adalah perang yang paling penting dalam dunia Islam.Masakan perang ini tidak penting sehingga Rasulullah Saw berdoa:
Ya Allah,jika Engkau kalahkan Islam pada perang ini,nescaya tidak akan ada lagi manusia yang akan menyembah Engkau….
Perang ini menyaksikan bahawa 313 orang kaum Muslimin yang mempunyai 2 ekor kuda dan 70 ekor unta menentang 1300 orang Kafir Quraisy yang mana mempunyai 100 ekor unta,lengkap berbaju besi dan bilangan unta yang sangat banyak.Tentera Islam dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW dan tentera Kafir Quraisy dipimpin oleh Abu Jahal.Tentera Islam menunggang kuda dan unta secara bergilir dan mereka hanya bersenjatakan pelepah tamar,cangkul,batang kayu dan batu.Manakala tentera Kafir lengkap berpedang.
17 Ramadhan tanggal bersejarah,tarikh di mana berlakunya pertumpahan darah,antara tentera berhala dan tentera Allah.Pokok cerita,tentera Muslimin keluar 300 orang lebih untuk menunjukkan kekuatan negara Madinah,tidak terlintas lansung untuk berperang. Khafilah Abu Sufyan R.A menjadi sasaran,bukan untuk ditangkap atau dibunuh,tetapi untuk digerunkan.Namun, takdir telah menentukan peperangan akan berlaku,Abu Sufyan menghantar utusan ke Makkah untuk meminta bantuan ketenteraan. Abu Jahal tanpa berfikir panjang telah mengerahkan 1000 orang lebih untuk turun berperang.
Maklumat tentang serangan Abu Jahal bocor kepada Rasulullah SAW,tanpa berlengah, Rasulullah SAW terus mengumpulkan sahabat-sahabat daripada Ansar dan Muhajirin untuk bermusyawwarah.Belum sempat musyuarat berjalan lebih jauh,Sayidina Miqdad Bin Al-Aswad R.A lekas bangun dan mula berpidato:
“Ya Rasulullah (SAW)!, Kami tidak akan mengatakan kepadamu seperti apa yang dikatakan oleh bani Israel kepada Nabi Musa (AS), ‘Pergilah kamu bersama Tuhanmu, kami duduk (menunggu) di sini’( Dalam surah Al-Maidah). Pergilah bersama dengan keberkahan Allah dan kami akan bersama dengan mu !”.
Rasulullah SAW gembira mendengarnya namun Rasulullah SAW diam kerana dalam hati Baginda SAW, Baginda SAW memang yakin dengan kaum Muhajirin dan kini,Rasulullah Saw menunggu pengakuan daripada kaum Ansar.Melihat Rasulullah Saw diam,seorang sahabat Ansar, Sayidina Sa’ad Ibnu Mu’az R.A, bangun dan berpidato:
“Demi Allah, Kami telah beriman kepadamu, sehingga kami akan selalu membenarkanmu. Dan kami bersaksi bahwa ajaran yang engkau bawa adalah benar. Karena itu, kami berjanji untuk selalu mentaati dan mendengarkan perintahmu. Berangkatlah wahai Rasululah Shalallahu ‘alaihi wasallam, jika itu yang engkau kehendaki. Demi Dzat yang telah mengutusmu dengan nilai-nilai kebenaran, seandainya engkau membawa kami ke laut itu, kemudian engkau benar-benar mengarunginya, niscaya kami pun akan mengikutimu. Sungguh, tidak akan ada satu pun tentara kami yang akan tertinggal dan kami tidak takut sedikit pun kalau memang engkau memper temukan kami dengan musuh-musuh kami esok hari. Sesungguhnya, kami adalah orang-orang yang terbiasa hidup dalam peperangan dan melakukan pertempuran. Semoga Allah memperlihatkan kepadamu berbagai hal dari kami yang dapat memberikan kebahagiaan bagimu. Maka, marilah kita berjalan menuju berkah Allah.”
Rasulullah SAW sangat gembira mendengar kedua-dua pengakuan wakil daripada 2 kaum itu,lantas Baginda SAW bersabda:
“Majulah ke depan dan yakinlah yang Allah telah menjajikan kepadaku satu dari keduanya (khafilah dagang atau perang), dan demi Allah, seolah olah aku telah dapat melihat pasukan musuh terbaring kalah”.
Maka tentera Islam pun mula berjalan mendaki gunung BADAR dan mereka berhenti seketika untuk berehat.Tatkala inilah seorang sahabat yang bernama Sayidina Hubab Bin Mundhir R.A darang mendekati Rasulullah Saw dan bertanya adakah pemilihan tempat ini sebagai medan peperangan merupakan wahyu Allah atau tidak dan Baginda SAW menjawab tidak tetapi tempat ini pilihan musyawwarah.Lalu Sayidina Hubab R.A memberi pendapatnya supaya tentera Islam berpindah ke selatan,tempat yang berdekatan dengan sumber air.Kemudian membuat kolam persediaan air dan menghancurkan sumber-sumber air yang lain.Rasulullah Saw bersetuju dengan cadangan Sayidina Hubab R.A. Selesai Sayidina Hubab memberi cadangannya,Sayidina Sa’ad Bin Muaz R.A pun memberi cadangannya yang mana dia ingin membangunkan benteng kepada Rasulullah SAW sebagai tempat berlindung dan ini juga diterima oleh Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW pulang ke khemah bersama dengan Sayidina Abu Bakar R.A.Dan pada waktu malam, Rasulullah SAW sujud begitu lama sehingga serban yang dipakainya jatuh.Air matanya mengalir hebat.Zikir ‘Ya Hayyu Ya Qayyum’ tidak henti-henti daripada mulut Rasulullah SAW.Sayidina Abu Bakar R.A yang berada di tepi Baginda SAW ketika itu menegur nabi SAW dan memberitahu bahawa:
“Wahai Nabi Allah,cukuplah bagi mu mengingatkan Allah tentang janji-janji Nya.Sesungguhnya Dia akan memberikan apa yang dijanjikan Nya kepada mu.”
Bukanlah Rasulullah SAW tidak yakin dengan janji Allah,tetapi Rasulullah SAW juga manusia.Terdetik juga di hatinya gerun dan takut.Jadi kepada Allah sahaja dia meluahkan segala-galanya.Kemudian Allah menurunkan wahyu Nya:
”Agar Allah SWT menetapkan yang hak ( Islam ) dan membatalkan yang batil ( syirik ) walaupun orang-orang yang berdosa itu tidak menyukainya.” [ QS; Al-Anfal : 9 ]
Keesokan harinya,sebelum tentera Kafir datang menyerang, Allah telah tidurkan semua sahabat dengan tujuan supaya mereka semua mempunyai tenaga yang mencukupi ketika peperangan.Bangun dari tidur,mereka mandi.Selepas mereka sudah selesai bersiap, tiba-tiba mereka didatangi oleh tentera Kafir yang sangat ramai,luar daripada jangkaan mereka.Hakikatnya,mereka tidak tahu tentang bilangan sebenar tentera Quraisy, Rasulullah SAW merahsiakannya supaya mereka tidak gentar sebelum peperangan.Hati manusia mana tidak gerun melihat musuh yang begitu ramai,malah lengkap bersenjata.Rasulullah SAW tahu mereka takut,lalu Baginda Saw menadah tangan meminta pertolongan daripada Allah.
“Oh, Tuhan! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan. Kalau umat yang kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak akan ada lagi orang yang menyembah Mu di muka bumi.”
Sayidina Abu Bakar R.A juga tidak dimaklumkan tentang bilangan musuh yang begitu ramai,hanya Nabi SAW sahaja tahu bilangan mereka.Sayidina Abu Bakar R.A juga turut gerun dan takut dan dia memegang kain penutup kepala nabi SAW dan berkata:
“Ya Nabi SAW, Allah tentu akan memakbulkan doa Mu dan Allah pasti menolong kita mengalahkan musuh yang ramai ini”
Nabi Saw tersentak mendengar doa Sayidina Abu Bakar R.A. Lalu wahyu daripada langit pun turun, ”Ya Rasulullah SAW! Kerahkanlah orang-orang Mu’min itu bertempur! Dua puluh orang Mu’min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu’min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh.”
Kemudian Nabi SAW mengambil segempal pasir dan melontarnya,sebagai tanda menyuruh tentera Islam maju ke depan.Tentera Islam maju ke depan dan akhirnya Abu Jahal berjaya dibunuh.Tatkala Jeneral mereka mati,maka lari bertempiaranlah tentera kafir quraisy tanda kekalahan.
Semoga Sirah ini menjadi pengajaran buat kita ……
Sumber : Scripters
Perang Badar: Penentu Nasib Islam (17 Ramadhan Hari Memperingati Pejuang Badar)
2011-08-16T11:01:00-07:00
Pencinta Syahid
Kisah Motivasi|Muhasabah Diri|Sirah|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)