Wake Up Muslims || Free Our Mind || Rise Of Islam

Dengan menyebut nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Selamat Hari Raya 'Eidilfitri Minal 'Aidil Walfaidzin Maaf Zahir Batin Dari Kami Jihadmaya Blogs 1432H

Himpunan Hadis


Random Hadith Widget
Showing posts with label Kisah Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Kisah Motivasi. Show all posts

Wednesday, September 14, 2011

Tipudaya Syaitan Menjelang Ajal


Tipudaya Syaitan Menjelang Ajal



Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, mulai dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hingga ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut.

Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah S.A.W. menerangkan:

"Ya Allah aku berlindung kepada Engkau dari tipuan syaitan diwaktu sakaratul maut. "

Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan berbagai rupa aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan haloba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barang-barang Iblis itu, pada waktu itu nyawanya putus dari tubuh.

Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2

Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular yang berbisa. Yang apabila orang yang sedang sakaratul maut itu memandang ke binatang itu, maka dia pun menjerit dan melompat sekuat hati.

Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3

Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan menyerupai binatang kesayangannya.

Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4

Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu.

Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan penuh kasih

"Wahai anakku inilah saja makanan dan bekal yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga."

Maka dia pun sudi mengikut tawaran itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulama'-ulama' yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia:

"Wahai muridku, lama sudah kami menunggu akan dikau, ternyata kamu sedang sakit di sini, kerana itu kami bawakan kepada kamu doktsr dan ubat untukmu."

Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang lagi.

Lalu datang pula Iblis yang menyerupai ulama' dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?"

Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: "Aku tidak tahu. "

Berkata ulama' Iblis: "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulama' yang tinggi dan hebat, baru saja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami. "

Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis untuk tujuan menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut).

Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulama' palsu:

"Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena.

Lalu berkata ulama' palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. "

Ketika tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Berkata Iblis: "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah."

Berkata orang yang dalam sakaratul maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai enam sisi, iaitu benda besar ini ada kiri dan kanannya, mempunyai atas dan bawah, mempunyai depan dan belakang.

Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini. "

Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini terdiri dari 72 barisan sebab dari menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad S.A.W bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 barisan). Satu barisan/golongan yang benar iaitu ahli sunnah waljamaah, 72 yang lain masuk ke neraka kerana sesat.

Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang cara/jalan setiap satu berlainan di dalam waktu manusia sakaratul maut.

Oleh kerana itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Disebutkan dalam sebuah hadith yang artinya: "Ajarkan oleh kamu orang yang hampir akan mati diantara kamu: Laa Ilaaha Illallah." ( Hadith Sahih Riwayat Muslim, Abud Daud, Nasaai, Ahmad, Tirmidzi Dan Ibnu Majah)

Sumber : Didikhanan Blog
Read More

Tuesday, August 16, 2011

Pesta Ibadah Di Masjidil Haram


ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan. Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.

Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan. Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (Riwayat Bukhari)


Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain. Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.

Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu. Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat. Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut. Bagi yang datang lewat, mereka reda 'dibakar' matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.

Jika ingin melihat orang 'bertengkar' mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain. Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan 'celus' kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah. Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras 'mempertahankan ruang' yang ada.
Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat. Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.

Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.
Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan. Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.

Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran. Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi 'para penghuni' Masjidil Haram sepanjang Ramadan. Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau 'mengusir' orang yang mahu tidur dan iktikaf. Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.
Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.

Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik....
Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.

Sumber : Scripters
Read More

Perang Badar: Penentu Nasib Islam (17 Ramadhan Hari Memperingati Pejuang Badar)


Assalamualaikum
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Mungkin ramai yang tahu tentang perang BADAR ialah perang pertama Islam menentang kafir quraisy tapi sejauh mana sirah ini dihayati?Tahukah anda bahawa peperangan ini bukanlah peperangan yang diduga oleh Rasulullah?Tahukah anda bahawa tentera Islam hanya mempunyai 2 ekor kuda ketika itu? Tahukah anda bahawa Rasulullah menangis sampai teresak-esak memohon janji daripada Allah?Tahukah anda bahawa para sahabat begitu takut menghadapi peperangan ini?

Perang BADAR adalah perang yang paling penting dalam dunia Islam.Masakan perang ini tidak penting sehingga Rasulullah Saw berdoa:

Ya Allah,jika Engkau kalahkan Islam pada perang ini,nescaya tidak akan ada lagi manusia yang akan menyembah Engkau….

Perang ini menyaksikan bahawa 313 orang kaum Muslimin yang mempunyai 2 ekor kuda dan 70 ekor unta menentang 1300 orang Kafir Quraisy yang mana mempunyai 100 ekor unta,lengkap berbaju besi dan bilangan unta yang sangat banyak.Tentera Islam dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW dan tentera Kafir Quraisy dipimpin oleh Abu Jahal.Tentera Islam menunggang kuda dan unta secara bergilir dan mereka hanya bersenjatakan pelepah tamar,cangkul,batang kayu dan batu.Manakala tentera Kafir lengkap berpedang.

17 Ramadhan tanggal bersejarah,tarikh di mana berlakunya pertumpahan darah,antara tentera berhala dan tentera Allah.Pokok cerita,tentera Muslimin keluar 300 orang lebih untuk menunjukkan kekuatan negara Madinah,tidak terlintas lansung untuk berperang. Khafilah Abu Sufyan R.A menjadi sasaran,bukan untuk ditangkap atau dibunuh,tetapi untuk digerunkan.Namun, takdir telah menentukan peperangan akan berlaku,Abu Sufyan menghantar utusan ke Makkah untuk meminta bantuan ketenteraan. Abu Jahal tanpa berfikir panjang telah mengerahkan 1000 orang lebih untuk turun berperang.

Maklumat tentang serangan Abu Jahal bocor kepada Rasulullah SAW,tanpa berlengah, Rasulullah SAW terus mengumpulkan sahabat-sahabat daripada Ansar dan Muhajirin untuk bermusyawwarah.Belum sempat musyuarat berjalan lebih jauh,Sayidina Miqdad Bin Al-Aswad R.A lekas bangun dan mula berpidato:

“Ya Rasulullah (SAW)!, Kami tidak akan mengatakan kepadamu seperti apa yang dikatakan oleh bani Israel kepada Nabi Musa (AS), ‘Pergilah kamu bersama Tuhanmu, kami duduk (menunggu) di sini’( Dalam surah Al-Maidah). Pergilah bersama dengan keberkahan Allah dan kami akan bersama dengan mu !”.

Rasulullah SAW gembira mendengarnya namun Rasulullah SAW diam kerana dalam hati Baginda SAW, Baginda SAW memang yakin dengan kaum Muhajirin dan kini,Rasulullah Saw menunggu pengakuan daripada kaum Ansar.Melihat Rasulullah Saw diam,seorang sahabat Ansar, Sayidina Sa’ad Ibnu Mu’az R.A, bangun dan berpidato:

“Demi Allah, Kami telah beriman kepadamu, sehingga kami akan selalu membenarkanmu. Dan kami bersaksi bahwa ajaran yang engkau bawa adalah benar. Karena itu, kami berjanji untuk selalu mentaati dan mendengarkan perintahmu. Berangkatlah wahai Rasululah Shalallahu ‘alaihi wasallam, jika itu yang engkau kehendaki. Demi Dzat yang telah mengutusmu dengan nilai-nilai kebenaran, seandainya engkau membawa kami ke laut itu, kemudian engkau benar-benar mengarunginya, niscaya kami pun akan mengikutimu. Sungguh, tidak akan ada satu pun tentara kami yang akan tertinggal dan kami tidak takut sedikit pun kalau memang engkau memper temukan kami dengan musuh-musuh kami esok hari. Sesungguhnya, kami adalah orang-orang yang terbiasa hidup dalam peperangan dan melakukan pertempuran. Semoga Allah memperlihatkan kepadamu berbagai hal dari kami yang dapat memberikan kebahagiaan bagimu. Maka, marilah kita berjalan menuju berkah Allah.”

Rasulullah SAW sangat gembira mendengar kedua-dua pengakuan wakil daripada 2 kaum itu,lantas Baginda SAW bersabda:

“Majulah ke depan dan yakinlah yang Allah telah menjajikan kepadaku satu dari keduanya (khafilah dagang atau perang), dan demi Allah, seolah olah aku telah dapat melihat pasukan musuh terbaring kalah”.

Maka tentera Islam pun mula berjalan mendaki gunung BADAR dan mereka berhenti seketika untuk berehat.Tatkala inilah seorang sahabat yang bernama Sayidina Hubab Bin Mundhir R.A darang mendekati Rasulullah Saw dan bertanya adakah pemilihan tempat ini sebagai medan peperangan merupakan wahyu Allah atau tidak dan Baginda SAW menjawab tidak tetapi tempat ini pilihan musyawwarah.Lalu Sayidina Hubab R.A memberi pendapatnya supaya tentera Islam berpindah ke selatan,tempat yang berdekatan dengan sumber air.Kemudian membuat kolam persediaan air dan menghancurkan sumber-sumber air yang lain.Rasulullah Saw bersetuju dengan cadangan Sayidina Hubab R.A. Selesai Sayidina Hubab memberi cadangannya,Sayidina Sa’ad Bin Muaz R.A pun memberi cadangannya yang mana dia ingin membangunkan benteng kepada Rasulullah SAW sebagai tempat berlindung dan ini juga diterima oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW pulang ke khemah bersama dengan Sayidina Abu Bakar R.A.Dan pada waktu malam, Rasulullah SAW sujud begitu lama sehingga serban yang dipakainya jatuh.Air matanya mengalir hebat.Zikir ‘Ya Hayyu Ya Qayyum’ tidak henti-henti daripada mulut Rasulullah SAW.Sayidina Abu Bakar R.A yang berada di tepi Baginda SAW ketika itu menegur nabi SAW dan memberitahu bahawa:

“Wahai Nabi Allah,cukuplah bagi mu mengingatkan Allah tentang janji-janji Nya.Sesungguhnya Dia akan memberikan apa yang dijanjikan Nya kepada mu.”

Bukanlah Rasulullah SAW tidak yakin dengan janji Allah,tetapi Rasulullah SAW juga manusia.Terdetik juga di hatinya gerun dan takut.Jadi kepada Allah sahaja dia meluahkan segala-galanya.Kemudian Allah menurunkan wahyu Nya:

”Agar Allah SWT menetapkan yang hak ( Islam ) dan membatalkan yang batil ( syirik ) walaupun orang-orang yang berdosa itu tidak menyukainya.” [ QS; Al-Anfal : 9 ]

Keesokan harinya,sebelum tentera Kafir datang menyerang, Allah telah tidurkan semua sahabat dengan tujuan supaya mereka semua mempunyai tenaga yang mencukupi ketika peperangan.Bangun dari tidur,mereka mandi.Selepas mereka sudah selesai bersiap, tiba-tiba mereka didatangi oleh tentera Kafir yang sangat ramai,luar daripada jangkaan mereka.Hakikatnya,mereka tidak tahu tentang bilangan sebenar tentera Quraisy, Rasulullah SAW merahsiakannya supaya mereka tidak gentar sebelum peperangan.Hati manusia mana tidak gerun melihat musuh yang begitu ramai,malah lengkap bersenjata.Rasulullah SAW tahu mereka takut,lalu Baginda Saw menadah tangan meminta pertolongan daripada Allah.

“Oh, Tuhan! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan. Kalau umat yang kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak akan ada lagi orang yang menyembah Mu di muka bumi.”

Sayidina Abu Bakar R.A juga tidak dimaklumkan tentang bilangan musuh yang begitu ramai,hanya Nabi SAW sahaja tahu bilangan mereka.Sayidina Abu Bakar R.A juga turut gerun dan takut dan dia memegang kain penutup kepala nabi SAW dan berkata:

“Ya Nabi SAW, Allah tentu akan memakbulkan doa Mu dan Allah pasti menolong kita mengalahkan musuh yang ramai ini”

Nabi Saw tersentak mendengar doa Sayidina Abu Bakar R.A. Lalu wahyu daripada langit pun turun, ”Ya Rasulullah SAW! Kerahkanlah orang-orang Mu’min itu bertempur! Dua puluh orang Mu’min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu’min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh.”

Kemudian Nabi SAW mengambil segempal pasir dan melontarnya,sebagai tanda menyuruh tentera Islam maju ke depan.Tentera Islam maju ke depan dan akhirnya Abu Jahal berjaya dibunuh.Tatkala Jeneral mereka mati,maka lari bertempiaranlah tentera kafir quraisy tanda kekalahan.

Semoga Sirah ini menjadi pengajaran buat kita ……

Sumber : Scripters
Read More

Tuesday, July 5, 2011

Wanita Soleha Lebih Baik Daripada Bidadari Syurga


Wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.

Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka, cthnya seperti Uwais Al-Qarni.

Salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.

Rasulullah SAW bersabda,

    “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Lagi sabda Rasulullah SAW,

    “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.”
(Riwayat Abu ‘Asakir)

Tapi betul ke wanita solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga?

Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang):

    Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”

    Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

    Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”

    Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (Riwayat Al-Tabrani)

Terkejut bila membaca hadis ni dan ingin berkongsi bersama rakan-rakan lain. Sungguh tinggi darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi inspirasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..

Tapi, bagaimana yang dikatakan wanita solehah itu?
Ikuti kisah berikut, semoga kita sama-sama beroleh pengajaran.

Seorang gadis kecil bertanya ayahnya “ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?”

Si ayah pun menjawab “anakku,seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi.itulah yang terbaik”

Si ayah terus menyambung
“muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa,tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”

Berdasarkan ayat 31,surah An Nurr, Abdullah ibn abbas dan lain-lainya berpendapat.Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram (As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)

    “Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik” (surah Al Ahzab:32)

“lantas apa lagi ayah?” sahut puteri kecil terus ingin tahu.
“ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi”

“dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”

Setelah itu si anak bertanya”Siapakah yang memiliki kriteria seperti itu ayah? Bolehkah saya menjadi sepertinya? mampu dan layakkah saya ayah?”

Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata” pelajarilah mereka! supaya kamu berjaya nanti.INSYA ALLAH kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak,malah semua wanita boleh”

Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH.

“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

Sumber : RakanMasjid
Read More

Wednesday, June 29, 2011

'Misteri' Israk Dan Mikraj

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ

Oleh MUHAMMAD IQBAL
     

Peristiwa Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian spiritual Rasulullah s.a.w pada masa lalu, sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.

Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.

Banyaknya pendapat yang  membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah s.a.w dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi s.a.w, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.

Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, ”Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad s.a.w. Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu. Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”

Hanya dalam satu malam, Allah s.w.t ‘mencipta perjalanan’ bagi Rasulullah s.a.w untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya, mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkan-Nya perintah menunaikan solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasulullah dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).

Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan bahawa ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular di kalangan umat Islam.

Sebenarnya, peristiwa Isra dan Mikraj  hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru tentang Israk dan Mikraj.

Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj. Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam kitab As-Sirah karya Muhammad Bin Ishaq (85 H –151 M). Kitab adalah karya tertua dan pertama yang berisi dalil-dalil autentik atau dapat dipertanggungjawabkan yang  membicarakan perihal Israk dan Mikraj.

Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi autentiknya tidak dapat dipertanggungjawabkan. Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah s.a.w, selebihnya dengan roh yang suci.

Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang optimum untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah s.a.w tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul,  bukan dongengan atau palsu semata.

Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w? Dan yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu terjadi.

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang-orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghibur diri Rasulullah s.a.w yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawa baginda.

Tahun yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah s.w.t telah ‘mengisrakmikrajkan’ Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung. Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.

Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar aI-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah saw.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.

Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah s.w.t, sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Allah menperjalankan Muhammad sesuai dengan kehendak-Nya untuk memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Malah sesetengah ulama mengatakan perjalanan agung itu sama sekali tidak ada kaitan dengan hiburan dan pencarian kesenangan dan kebahagiaan luaran diri Rasulullah, tetapi terkandung di dalamnya perintah untuk menggunakan akal fikiran dan mata hati untuk mencari hikmah lebih besar yang terdapat di dalam peristiwa agung itu. 

Dalam hal ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali menulis bahawa hikmah Israk dan Mikraj ini adalah seperti yang berikut: “Allah ‘Azza wa Jalla memberi kesempatan kepada Rasulullah untuk melihat tanda-tanda dan kejadian yang amat luar biasa, yang terjadi di atas kekuasaan Allah, agar lahir keyakinan dan penyerahan diri kepada Allah dalam kalbu, dalam menghadapi tekanan orang-orang kafir pada waktu itu.”

Sejarah juga mencatatkan bahawa sebelum Nabi Musa a.s diutus menjadi nabi, Allah telah memperlihatkan kepadanya keajaiban-keajaiban kekuasaan-Nya, dengan memerintahkan Musa a.s melempar tongkat yang tergenggam di tangannya, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Allah berfirman: Lemparkanlah ia, wahai Musa.’ Lalu dilemparkanlah tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang menjalar dengan pantas. Allah berfirman: ‘Peganglah ia dan jangan takut. Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula, dan kepitkanlah tanganmu ke ketiakmu, nescaya ia keluar menjadi putih cemerlang tanpa cacat, sebagai mukjizat yang lain pula untuk Kami perlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Kami yang sangat besar.” (Surah Thaha: 19-23)

Ketika  kalbu Musa a.s dipenuhi rasa takjub akan kejadian yang ajaib tersebut, tumbuhlah rasa iman dan keyakinan yang kukuh dalam dirinya kepada Allah. Pada ketika itulah Allah berfirman kepada Musa a.s, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pergilah kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampui batas.” (Surah Thaha: 24)

Al-Ghazali menjelaskan lagi bahawa kita semua telah memahami bahawa hasil daripada Israk dan Mikraj telah memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah yang teragung, meskipun hal itu terjadi dua belas tahun setelah pengangkatan (penobatan) Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasulullah s.a.w.

Apa yang terjadi pada Musa a.s jelas berbeza dengan Muhammad s.a.w. Dan apa yang kelihatan pada Musa terjadi sebelum pengangkatan dirinya sebagai nabi, sedangkan kepada Muhammad terjadi dua belas tahun setelah pengangkatannya sebagai nabi dan Rasulullah. Nilai yang tersirat daripada perbezaan tersebut menunjukkan apa yang terjadi pada Nabi dan Rasul adalah untuk  meyakinkan umat (kaum) mereka akan kebenaran risalah dan kenabian yang ditugaskan itu. Ini merupakan satu pembuktian untuk para musuh yang tidak mempercayai adanya risalah dan tugas kenabian daripada Allah s.w.t, dan tugas kenabian yang disandang Rasulullah s.a.w lebih daripada apa yang ditugaskan kepada para nabi terdahulu, dan tahap Muhammad lebih tinggi daripada para nabi dan rasul terdahulu itu.

Dr Ahmad Syalabi mengatakan bahawa nilai pendidikan dari perjalanan agung ini adalah sebagai medium penyaringan untuk mengetahui siapa sebenarnya pengikut nabi yang setia dan kukuh imannya. Dan siapa pula yang pura-pura beriman kerana nabi merasa perlu mengetahui masalah ini disebabkan tugas kenabian setelah hijrah adalah amat berat , penuh dengan jihad dan peperangan, serta pengorbanan bukan sahaja berupa harta benda, tenaga, bahkan nyawa demi menegakkan agama Islam.

Sheikh Abu Ali Fadhal bin Hasan ath-Tusi telah merumuskan tentang pemahaman hakiki mengenai peritiwa Israk dan Mikraj dan pandangan ini dianggap terbaik dari sebilangan pendapat yang ada. Di antara yang dirumuskannya adalah:
·        Allah telah ‘menciptakan perjalanan’ Rasulullah itu pada malam gelap gelita, dari Masjidil  Haram, Mekah.
·         Ia hanya berlaku sekali sahaja sebagaimana pendapat majoriti.
·         Berlaku dalam keadaan jaga (bukan mimpi)
·         Dengan roh dan jasad
·         Terjadi setahun sebelum Hijrah
·         Menaiki buraq yang tidak diketahui hakikat bentuknya, kecuali oleh Allah s.w.t
·         Menuju Baitulmaqdis (sekarang Palestin)
·         Perjalanan itu sampai ke Sidratul Muntaha.
·         Dalam Mikraj, telah diwajibkan solat lima waktu bagi diri baginda dan umatnya.
·         Kemudian kembali ke Mekah dan perkara itu terjadi pada malam yang sama.      
·         Orang musyrik tidak menpercayainya, terutama Abu Jahal.
·      Abu Bakar adalah antara sahabat yang sangat meyakini dan mempercayai khabar ini, manakala yang lain ada yang lemah imannya dan  menjadi murtad.
·      Al-Quran menerangkan peristiwa ini dengan begitu sederhana dan simbolik. Oleh hal yang demikian itu, kita perlu berhati-hati dalam melihat hadis-hadis dan periwayatan mengenainya.

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu ‘perjalanan agung’ yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa takwa dan keimanan terhadap Allah s.w.t menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad s.a.w. Oleh hal yang demikian itu, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketakwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah s.w.t.

Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendaki-Nya.

Sumber : UmmatanWasatan.net
Read More

Wednesday, June 22, 2011

Anda Sangat Istimewa, Percayalah



اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
 
Anda sangat istimewa, percayalah!

Anda sangat istimewa. Kalau saya yang mengatakan begitu maka anda boleh abaikan saja. Namun kata-kata ini Allah sendiri sebagai pencipta seluruh alam yang mengatakannya.

" Demi buah tin dan buah zaitun . Dan demi bukit Sinai .Dan demi kota Mekkah yang aman. Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya" (Surah At tin ayat 1-4)

Allah bersumpah atas nama buah tin, zaitun, bukit Sinai dan kota Makkah bahawa manusia telah dicipta dalam bentuk yang sangat sempurna dan sangat istimewa.

Hanya kita yang selalu salah faham tentang diri kita sendiri. Kita tidak kenal diri kita sendiri, kita tidak melihat keistimewaan kita sendiri. Setiap hari kita memberikan kredit yang buruk kepada diri kita. Kita memandang diri kita sebagai orang yang lemah, yang hina, yang miskin, dan segala macam cop negatif. Diri anda yang sebenar adalah istimewa, jika anda merasakan diri anda serba kurang, maka itu hanyalah anggapan anda saja. Ingat, kita hidup dalam dunia anggapan-anggapan, dunia persepsi kita sendiri hasil tafsiran kita terhadap apa yang ada di sekeliling kita. Anda adalah sebutir permata Ilahi, namun dibalut dengan debu-debu persepsi. Anda harus membersihkan debu-debu itu untuk menjadikan diri anda mutiara Ilahi yang murni berkilauan seperti mana asalnya yang azali.

Lihatlah diri anda sebagai insan yang istimewa. Semua tittle yang anda berikan kepada diri anda itu hanyalah satu persepsi. Selama ini anda memerikan status-status yang rendah kepada diri anda. Anda melihat diri anda sebagai hina, miskin, bodoh, lemah, hodoh, pemalu, kuli, dan sebagainya. Ini adalah status-status yang anda berikan kepada diri anda selama ini. Anda tidak sedar, tetapi keyakinan-keyakinan bahawa anda memiliki status ini terpendam dengan sempurna dan sangat kuat tersembunyi di dalam diri anda, dan sehingga sekarang anda masih belum sedar. Anda hidup dalam suasana yang anda atur sendiri, yang anda ciptakan sendiri melalui keyakinan-keyakinan di minda bawah sedar anda. Anda umpama seorang raja, yang memakai pakaian pengemis. Lalu anda menganggap diri anda seorang pengemis. Pakaian itu membuat anda menyangka bahawa diri anda seorang pengemis. Padahal hakikatnya anda adalah seorang raja. Begitulah misalannya. Allah mencipta anda sebagai makhluk yang istimewa, fikiran-fikiran anda memberikan kredit negatif kepada diri anda sendiri.

Buanglah fikiran-fikiran itu, lepaskanlah tanggapan-tanggapan itu, lalu jadilah diri anda yang sebenar, yang memiliki status istimewa. Berikan status yang hebat kepada diri anda sebagaimana layaknya. Anda seorang yang hebat, anda seorang yang pintar, anda seorang yang kaya, anda seorang yang berilmu, anda seorang yang berstatus tinggi dan macam-macam lagi kehebatan dan keistimewaan anda. Sedarlah, kembalikan potensi anda. Apa yang anda fikirkan tentang diri anda, apa yang anda gambarkan tentang diri anda di minda anda maka itulah yang anda akan jadi.

Anda harus berusaha meningkatkan kesedaran anda. Anda harus rela melepaskan fikiran-fikiran anda yang sudah mendarah daging dengan sistem kayakinan anda. Mulakan dengan tafakkur, dengan meditasi yang rutin mengikut sistem yang anda yakini. Hanya dengan begitulah anda akan dapat masuk ke dalam diri anda dan memperbaharui semua setting yang selama ini salah di dalam minda anda. Anda hanya boleh mengubah semua setting di dalam minda anda dengan mudah dan menyeluruh apabila kesedaran anda mencapai cakra jantung atau istilah lainnya jiwa anda mencapai maqam nafsul muthmainnah.

Selamat berlatih untuk meningkatkan kesedaran diri anda, selamat mengembalikan status istimewa anda.

Salam kasih dan sayang.

Sumber : Qalam Illahi Wellness Center (QIWC)
Read More

Monday, April 4, 2011

Sudut Motivasi : Memang Allah Sengaja Menemukan Kita Dengan Orang Yang Salah



Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah ...

* supaya kita dapat menjadi penilai yang baik..
* supaya kita sedar, Bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah..
* supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK, KHAS UNTUK DIRI KITA..
* supaya kita sedar, Bahawa ALLAH YANG MAHA PEMURAH DAN PENYAYANG, kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita dimasa hadapan …
* supaya kita dapat mengutip pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk mengalamninya..
* supaya kita menjadi MANUSIA yang HEBAT JIWANYA..
* supaya kita lebih faham bahawa CINTA yang TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH..
* supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YANG TIDAK SELAMANYA KEKAL..

Wahai sahabat yang kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, FAHAMILAH bahawa kehidupan kita semakin sampai ke penghujungnya. Hari esok kita pun kita sendiri tidak pasti sama ada menjadi milik kita.

Gapailah keredhaan Allah dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya…

PERCAYALAH sesungguhnya Allah malu untuk menolak permintaan hamba-Nya yang menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA..

*petikan dari Kembara Wasilah Edisi 1/2009 January


Sumber : Scripters By Ahmad Saiful
Read More

Wednesday, August 25, 2010

Menuju Ustaziatul Alam


Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya.

Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr. Johar, orang besar negara ini.

"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.

Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu mata tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka. Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladdin, budak Arab dengan lampu ajaibnya, teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar.

Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru. "Assalamualaikum. Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman. Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut.

Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa? Dia nak marahkan aku?

"Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?" tanyanya angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula.

Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula-Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni."

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itu pun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi Jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar. "Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! Seksa neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas. Lega. Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan, "Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga. "Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki". "Ceh! Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan".

Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? 
Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!".

Lelaki itu tersenyum. 
"Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan", terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni!" "MasyaAllah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah. ..." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng-gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. "Nasi beriani sepinggan!" ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan. "Ya! Apa peliknya?". "Baik, tuan. Tapi semua orang berebut- rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang?" tanya pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan. Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

"Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan.

"Macam tak lalu makan saja, anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.

"Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit. Malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita", keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Ana pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk ana daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya, saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan-lahan.

Datuk Dr. Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan, berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan....," kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram. "Tuan, mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insyaAllah. Kita tak perlu hospital."

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan. "Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya."

"Batalkan saja order saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang. Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya. "Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar-KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN , IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh... Oh ... seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.

Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer, 'RAJA'. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI.. Kepala Datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni?

"Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. "Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang..." "Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran... "Eh ...ni suara orang mengaji," "Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema, "Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta, stanza hati merindu Ilahi..."

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran. "Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah" Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata "Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya. "Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah." "Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-bungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri."

"Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka." "Ah, aku tak nak dengar semuanya. Makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu.

Di luar, semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi. Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Juruterbang helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas : "KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek.

Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. "Kenapa?". Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

"Datuk..! Datuk! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr. Johar bangun. Dia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu. "Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah?" tanya Datuk Dr. Johar. "Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu pilihanraya.." "Habis, mereka mahu apa?". "Mereka mahu Islam, Datuk!". "Islam? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya terlihat sepanduk di hadapan tertulis, "ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG.. ITULAH JANJI ILAHI". "Pasakkan Sabat Teguhkan Istiqamah!".

"Tak mungkiiinnnn!!!". Datuk Dr. Johar jatuh pengsan.
by : Generala Zajaczk
Read More

Monday, August 9, 2010

Kisah Masjid Yang Dibina Oleh Orang Miskin

Mungkin kita tidak akan percaya jika tidak melihat faktanya. Seorang yang tidak kaya, bahkan tergolong dalam golongan fakir miskin, namun mampu membangun sebuah Masjid di Turki. Nama masjidnya pun paling aneh di dunia, iaitu “Shanke Yadem” (Anggap Saja Sudah Makan). Sangat aneh bukan? Di sebalik Masjid yang namanya paling aneh tersebut berselindung kisah yang sangat menarik dan mengandungi pelajaran yang sangat berharga buat kita.

Ceritanya begini :

Di sebuah kawasan Al-Fateh, di pinggiran kota Istanbul ada seorang yang warak’ dan sangat sederhana, namanya Khairuddin Afandi. Setiap kali ke pasar dia tidak membeli apa-apa. Ketika merasa lapar dan ingin makan atau membeli sesuatu, seperti buah, daging atau manisan, ia berkata pada dirinya: “Anggap saja sudah makan”; dalam bahasa Turkinya “ Shanke Yadem”.

Jama’ah yang melimpah, tanda keberkatan dan amal soleh dari harta yang halal dan bersih.

Apa yang dia lakukan selepas itu? Wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan makanannya itu dimasukkan ke dalan sebuah tabung. Begitulah yang dia lakukan pada setiap bulan dan sepanjang tahun. Dia mampu menahan dirinya untuk tidak makan dan berbelanja sesuka hati kecuali cukup untuk membeli sedikit makanan bagi meneruskan kehidupannya.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun Khairuddin Afandi tetap istiqamah dengan amal dan niatnya yang kuat untuk mewujudkan impiannya membangun sebuah masjid. Tanpa disedari, akhirnya Khairuddin Afandi mampu mengumpulkan dana untuk membangun sebuah masjid kecil di daerah tempat tinggalnya. Bentuknya sangat sederhana. Sebuah pagar persegi empat, ditandai dengan dua menara di sebelah kiri dan kanannya, sedangkan di sebelah arah kiblat ditengahnya dibuat seperti mihrab.

Bentuknya boleh dikatakan sederhana, namun jama’ah yang datang dari seluruh pelosok desa memenuhi masjidnya menunggu waktu solat masuk.

Akhirnya, Khairuddin berjaya mencapai cita-citanya yang amat mulia itu. Masyarakat di sekitarnya pun turut berasa hairan dan kagum. Khairuddin yang miskin itu di dalam dirinya tertanam sebuah cita-cita mulia, yakni membangun sebuah masjid. Khairudin ternyata orang yang sangat luar biasa dan mempunyai tahap keimanan yang tinggi. Ramai lagi orang yang kaya-raya tetapi tidak mampu berbuat kebaikan seperti yang dilakukan oleh Khairuddin Afandi.

Masyarakat kagum dengan Khairuddin Afandi. Mereka kagum bagaimana seorang yang fakir miskin boleh membangunkan masjid. Merekapun sepakat memberi namanya dengan: “Shanke yadem” (Angap Saja Saya Sudah Makan).

Subhanallah! Jama’ah yang melimpah, tanda keberkahan dan amal sholeh dari harta yang halal dan bersih.


Sumber : Scripters
Read More

Wednesday, June 30, 2010

Mujahidin Melayu: As Syahid Fauzi Ismail

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Berbicara tentang Mujahidin, pasti ramai antara kita tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kerdil ini juga mampu melahirkan barisan Tentera Allah yang sanggup berdada/berdepan dengan tentera Kuffar laknatullah. Kini, hamba persembahkan kepada kalian sebuah kisah yang amat rare untuk didengari dari lidah-lidah agamawan Malaysia, kisah yang tak semua sanggup & berani untuk diceritakan kepada pelapis-pelapis anak jantan Islam berbangsa Melayu, mahupun hendak dijadikan bedtime story anak-anak Muslim.

Inilah kisah dari seribu kisah, kisah kerdil disaluti darah, darah sang Pejuang demi membela Islam nan Suci. Bacalah, hayatilah, tangisilah, insafilah, sebuah kisah klasik untuk masa depan...

ALLAH HU AKBAR!!!
 

As Syahid Fauzi Ismail
 
Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh At Taubah:111

Tahun 1980an banyak merakamkan peristiwa penumpahan darah para syuhada tanahair ini sebagaimana yang dicatatkan di Memali dan Lubuk Merbau. Dalam pada itu, ribuan para mujahiddin bermandikan keringat dan darah di Afghanistan, Chechnya, Iran, Arakan, Moro, Kashmir, Pattani, penyembelihan di Tanjung Periuk dan bumi Aceh di Indonesia. Di medan pertempuran bumi Afghanistan, ramai pula anak bangsa kita turut berjuang atas nama agama.

Di antaranya ada dua anak Melayu yang telah diterima dagangnya oleh Al Khaliq. Yang pertama bernama Abdul Aziz Samad dari Selangor pada pertengahan 1988 namun tiada rekod untuk diceritakan lebih lanjut. Yang kedua ialah Assyahid Fauzi Ismail. Bagi mengenang gugurnya putera Melayu itu maka saya muat-turunkan selingkar kisah dari buku Memoir Jihad Anak Melayu Di Afghanistan tulisan saudara C.N Al Afghani @ Zainon Ismail untuk tatapan pengunjung laman web ini.

Latar Belakang As Syahid

Fauzi Ismail ialah anak kampung Kelut dalam Pokok Sena, Kedah. Dilahirkan dalam pada 1 September 1962, anak muda yang periang dan kental dengan semangat perjuangan ini merupakan pemuda PAS yang istiqomah mempertahankan tapak pusat pengajian Muassasah Darul Ulum iaitu projek terbesar PAS Kedah dalam tahun 1987. Muassasah ini terletak di Batu 14 1/2 Jalan Kuala Nerang berkeluasan lebih kurang 48 relung. Apabila berlaku rampasan sebahagian tanah tapak projek oleh pihak berkuasa, ratusan pemuda telah menawarkan diri untuk mengawal muassasah tersebut. Assyahid antara pemuda yang sanggup berjaga malam di sana.

Miskipun tidak mempunyai pendidikan asas agama yang mendalam tetapi semangat untuk menghayati perjuangan agama begitu kental. Sebelah siangnya beliau membuka kedai runcit di kampung dan malam pula dipenuhi dengan aktiviti keagamaan seperti mengaji al Quran, mengikut kuliah pengajian agama dan berusrah di tapak muassasah itu. Bermalam di sana memang mencabar kerana bertemankan nyamuk dan kedinginan malam. Mereka juga melibatkan diri dalam kerja sosial di kawasan setempat.

Fitnah Menduga Jiwa

Penglibatan pemuda-pemuda di Muassasah tersebut rupanya kurang disenangi oleh banyak pihak samada pihak luar maupun veteran-veteran PAS sendiri. Ekoran dari itu pihak berkuasa tempatan telah mengawasi mereka, lebih-lebih lagi bila aktiviti seni pertahanan diri diamalkan di sana. Guru silat mereka telah dilucutkan tauliah mengajar gara-gara tekanan pihak tertentu. Tekanan banyak pihak ini benar-benar mencabar mereka untuk bermujahadah di jalan Allah.

Berjihad

Idea untuk berjihad bersama mujahidin di bumi Afghanistan tercetus selepas menyaksikan kekejaman kaum kuffar menzalimi saudara-saudara seagama di sana. Ekoran dari itu mereka bersepakat untuk mewakafkan diri sebagai anggota mujahiddin. Setelah bersusah payah mencari wang perbelanjaan untuk pergi ke bumi yang sedang bergelora itu, akhirnya sebilangan anak muda dari tapak muassasah ini berjaya menyertai lain-lain sukarelawan perang jihad dari berbagai negara.

Dagangnya Dibeli Allah

As Syahid dan rakan-rakannya berpeluang kali pertama melawat kem musuh dan bandar Argoon yang telah menjadi padang jarak padang terkukur ditawan oleh mujahiddin. Bangkai musuh masih terbiar di jalanan tetapi keadaan cuaca yang begitu sejuk di sana menyebabkan bangkai tersebut tidak busuk. Berjuang di sini begitu mencabar ketika di musim sejuk kerana kedinginannya begitu mencengkam hingga ke tulang hitam.

Di Khemah, mereka berkawal dan bertugas mengikut jadual. Berpuasa sunat, sholat malam dan latihan jasmani dilakukan. Suatu pagi, dikisahkan assyahid ini bangun mandi sedangkan waktu itu musim sejuk. Rupa-rupanya beliau telah berhadas kerana malamnya bermimpi didatangi bidadari. Dikatakan bahawa bermimpi bidadari di kalangan mujahiddin adalah perkara biasa dan kebanyakannya mereka inilah yang akan terpilih sebagai syuhada dan berpeluang menghampiri bidadari.

Dimaklumkan setelah pasukan mujahiddin berjaya menawan daerah Khost, mereka telah pergi ke wilayah Jalalabad untuk bergabung dengan mujahiddin Arab di sana. Beliau telah diarahkan menjaga kubu di atas bukit yang sederhana tingginya di waktu malam. Bertemankan seorang rakan dari bangsa Arab, mereka mengawal kubu tersebut dan kawasan itu memang kerap disinggah peluru musuh. Telah ramai pula yang menemui syahid di bukit itu.

Memang sudah ditakdirkan antara ratusan biji bom dari kereta kebal musuh itu, ada peruntukan oleh Allah untuk assyahid Fauzi Ismail. Dengan gugurnya ledakan bom itu, berterbanganlah bidadari dari syurga Firdaus menyambut assyahid. Janji Allah itu benar, mimpi beliau sebelum ini memang menjadi kenyataan. Allah telah membayar nyawanya dengan keharuman kasturi dan bidadari yang serba suci. Anak muda itu syahid pada 28 Julai 1989. Allahu Akbar!! 

Tanda Kesyahidan

As Syahid Fauzi gugur di kubu itu dan rakannya yang parah dibawa turun untuk mendapat rawatan. Walaupun hampir 10 jam jenazah beliau berada di atas bukit itu, darah merah masih segar bugar dan panas mengalir.

Jangan kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki - Ali Imran 169

Manakala ibu-bapanya di kampung pula, telah dipertemukan Allah dengan anak lelaki mereka bergelar syuhada itu melalui alam mimpi. Mimpi mereka lebih mendahului berita dari manusia. Wajah anak mereka tersenyum sayang dengan berjubah dan berserban merah. Mengertilah mereka bahawa dagang anaknya telah dibeli Allah dan tentunya mereka juga akan mendapat imbuhan dari pelaburan yang termahal ini.
Apabila ditanya kepada bapanya tentang anaknya itu, beliau menjawab:

Dia tak mahu dunia. Dia tinggalkan kedai dan motornya untuk cari akhirat. Sekarang dia dah dapat... saya bersyukur.

Nota:Terima kasih dan jazakumullah Khairan kathira kepada C.N Al Afghani kerana membukukan kisah perjuangan ini. Semoga Allah memberi ganjaran dan rahmat kepada saudara. Bersabarlah dalam merintis onak dan duri tribulasi ini. Amin.

Hasil Nukilan
Syuhada-Melayu.Blogspot.Com 
Read More

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...