Wake Up Muslims || Free Our Mind || Rise Of Islam

Dengan menyebut nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Selamat Hari Raya 'Eidilfitri Minal 'Aidil Walfaidzin Maaf Zahir Batin Dari Kami Jihadmaya Blogs 1432H

Himpunan Hadis


Random Hadith Widget

Tuesday, August 16, 2011

Pesta Ibadah Di Masjidil Haram


ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan. Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.

Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan. Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (Riwayat Bukhari)


Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain. Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.

Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu. Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat. Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut. Bagi yang datang lewat, mereka reda 'dibakar' matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.

Jika ingin melihat orang 'bertengkar' mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain. Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan 'celus' kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah. Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras 'mempertahankan ruang' yang ada.
Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat. Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.

Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.
Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan. Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.

Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran. Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi 'para penghuni' Masjidil Haram sepanjang Ramadan. Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau 'mengusir' orang yang mahu tidur dan iktikaf. Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.
Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.

Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik....
Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.

Sumber : Scripters
Read More

Perang Badar: Penentu Nasib Islam (17 Ramadhan Hari Memperingati Pejuang Badar)


Assalamualaikum
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Mungkin ramai yang tahu tentang perang BADAR ialah perang pertama Islam menentang kafir quraisy tapi sejauh mana sirah ini dihayati?Tahukah anda bahawa peperangan ini bukanlah peperangan yang diduga oleh Rasulullah?Tahukah anda bahawa tentera Islam hanya mempunyai 2 ekor kuda ketika itu? Tahukah anda bahawa Rasulullah menangis sampai teresak-esak memohon janji daripada Allah?Tahukah anda bahawa para sahabat begitu takut menghadapi peperangan ini?

Perang BADAR adalah perang yang paling penting dalam dunia Islam.Masakan perang ini tidak penting sehingga Rasulullah Saw berdoa:

Ya Allah,jika Engkau kalahkan Islam pada perang ini,nescaya tidak akan ada lagi manusia yang akan menyembah Engkau….

Perang ini menyaksikan bahawa 313 orang kaum Muslimin yang mempunyai 2 ekor kuda dan 70 ekor unta menentang 1300 orang Kafir Quraisy yang mana mempunyai 100 ekor unta,lengkap berbaju besi dan bilangan unta yang sangat banyak.Tentera Islam dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW dan tentera Kafir Quraisy dipimpin oleh Abu Jahal.Tentera Islam menunggang kuda dan unta secara bergilir dan mereka hanya bersenjatakan pelepah tamar,cangkul,batang kayu dan batu.Manakala tentera Kafir lengkap berpedang.

17 Ramadhan tanggal bersejarah,tarikh di mana berlakunya pertumpahan darah,antara tentera berhala dan tentera Allah.Pokok cerita,tentera Muslimin keluar 300 orang lebih untuk menunjukkan kekuatan negara Madinah,tidak terlintas lansung untuk berperang. Khafilah Abu Sufyan R.A menjadi sasaran,bukan untuk ditangkap atau dibunuh,tetapi untuk digerunkan.Namun, takdir telah menentukan peperangan akan berlaku,Abu Sufyan menghantar utusan ke Makkah untuk meminta bantuan ketenteraan. Abu Jahal tanpa berfikir panjang telah mengerahkan 1000 orang lebih untuk turun berperang.

Maklumat tentang serangan Abu Jahal bocor kepada Rasulullah SAW,tanpa berlengah, Rasulullah SAW terus mengumpulkan sahabat-sahabat daripada Ansar dan Muhajirin untuk bermusyawwarah.Belum sempat musyuarat berjalan lebih jauh,Sayidina Miqdad Bin Al-Aswad R.A lekas bangun dan mula berpidato:

“Ya Rasulullah (SAW)!, Kami tidak akan mengatakan kepadamu seperti apa yang dikatakan oleh bani Israel kepada Nabi Musa (AS), ‘Pergilah kamu bersama Tuhanmu, kami duduk (menunggu) di sini’( Dalam surah Al-Maidah). Pergilah bersama dengan keberkahan Allah dan kami akan bersama dengan mu !”.

Rasulullah SAW gembira mendengarnya namun Rasulullah SAW diam kerana dalam hati Baginda SAW, Baginda SAW memang yakin dengan kaum Muhajirin dan kini,Rasulullah Saw menunggu pengakuan daripada kaum Ansar.Melihat Rasulullah Saw diam,seorang sahabat Ansar, Sayidina Sa’ad Ibnu Mu’az R.A, bangun dan berpidato:

“Demi Allah, Kami telah beriman kepadamu, sehingga kami akan selalu membenarkanmu. Dan kami bersaksi bahwa ajaran yang engkau bawa adalah benar. Karena itu, kami berjanji untuk selalu mentaati dan mendengarkan perintahmu. Berangkatlah wahai Rasululah Shalallahu ‘alaihi wasallam, jika itu yang engkau kehendaki. Demi Dzat yang telah mengutusmu dengan nilai-nilai kebenaran, seandainya engkau membawa kami ke laut itu, kemudian engkau benar-benar mengarunginya, niscaya kami pun akan mengikutimu. Sungguh, tidak akan ada satu pun tentara kami yang akan tertinggal dan kami tidak takut sedikit pun kalau memang engkau memper temukan kami dengan musuh-musuh kami esok hari. Sesungguhnya, kami adalah orang-orang yang terbiasa hidup dalam peperangan dan melakukan pertempuran. Semoga Allah memperlihatkan kepadamu berbagai hal dari kami yang dapat memberikan kebahagiaan bagimu. Maka, marilah kita berjalan menuju berkah Allah.”

Rasulullah SAW sangat gembira mendengar kedua-dua pengakuan wakil daripada 2 kaum itu,lantas Baginda SAW bersabda:

“Majulah ke depan dan yakinlah yang Allah telah menjajikan kepadaku satu dari keduanya (khafilah dagang atau perang), dan demi Allah, seolah olah aku telah dapat melihat pasukan musuh terbaring kalah”.

Maka tentera Islam pun mula berjalan mendaki gunung BADAR dan mereka berhenti seketika untuk berehat.Tatkala inilah seorang sahabat yang bernama Sayidina Hubab Bin Mundhir R.A darang mendekati Rasulullah Saw dan bertanya adakah pemilihan tempat ini sebagai medan peperangan merupakan wahyu Allah atau tidak dan Baginda SAW menjawab tidak tetapi tempat ini pilihan musyawwarah.Lalu Sayidina Hubab R.A memberi pendapatnya supaya tentera Islam berpindah ke selatan,tempat yang berdekatan dengan sumber air.Kemudian membuat kolam persediaan air dan menghancurkan sumber-sumber air yang lain.Rasulullah Saw bersetuju dengan cadangan Sayidina Hubab R.A. Selesai Sayidina Hubab memberi cadangannya,Sayidina Sa’ad Bin Muaz R.A pun memberi cadangannya yang mana dia ingin membangunkan benteng kepada Rasulullah SAW sebagai tempat berlindung dan ini juga diterima oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW pulang ke khemah bersama dengan Sayidina Abu Bakar R.A.Dan pada waktu malam, Rasulullah SAW sujud begitu lama sehingga serban yang dipakainya jatuh.Air matanya mengalir hebat.Zikir ‘Ya Hayyu Ya Qayyum’ tidak henti-henti daripada mulut Rasulullah SAW.Sayidina Abu Bakar R.A yang berada di tepi Baginda SAW ketika itu menegur nabi SAW dan memberitahu bahawa:

“Wahai Nabi Allah,cukuplah bagi mu mengingatkan Allah tentang janji-janji Nya.Sesungguhnya Dia akan memberikan apa yang dijanjikan Nya kepada mu.”

Bukanlah Rasulullah SAW tidak yakin dengan janji Allah,tetapi Rasulullah SAW juga manusia.Terdetik juga di hatinya gerun dan takut.Jadi kepada Allah sahaja dia meluahkan segala-galanya.Kemudian Allah menurunkan wahyu Nya:

”Agar Allah SWT menetapkan yang hak ( Islam ) dan membatalkan yang batil ( syirik ) walaupun orang-orang yang berdosa itu tidak menyukainya.” [ QS; Al-Anfal : 9 ]

Keesokan harinya,sebelum tentera Kafir datang menyerang, Allah telah tidurkan semua sahabat dengan tujuan supaya mereka semua mempunyai tenaga yang mencukupi ketika peperangan.Bangun dari tidur,mereka mandi.Selepas mereka sudah selesai bersiap, tiba-tiba mereka didatangi oleh tentera Kafir yang sangat ramai,luar daripada jangkaan mereka.Hakikatnya,mereka tidak tahu tentang bilangan sebenar tentera Quraisy, Rasulullah SAW merahsiakannya supaya mereka tidak gentar sebelum peperangan.Hati manusia mana tidak gerun melihat musuh yang begitu ramai,malah lengkap bersenjata.Rasulullah SAW tahu mereka takut,lalu Baginda Saw menadah tangan meminta pertolongan daripada Allah.

“Oh, Tuhan! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan. Kalau umat yang kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak akan ada lagi orang yang menyembah Mu di muka bumi.”

Sayidina Abu Bakar R.A juga tidak dimaklumkan tentang bilangan musuh yang begitu ramai,hanya Nabi SAW sahaja tahu bilangan mereka.Sayidina Abu Bakar R.A juga turut gerun dan takut dan dia memegang kain penutup kepala nabi SAW dan berkata:

“Ya Nabi SAW, Allah tentu akan memakbulkan doa Mu dan Allah pasti menolong kita mengalahkan musuh yang ramai ini”

Nabi Saw tersentak mendengar doa Sayidina Abu Bakar R.A. Lalu wahyu daripada langit pun turun, ”Ya Rasulullah SAW! Kerahkanlah orang-orang Mu’min itu bertempur! Dua puluh orang Mu’min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu’min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh.”

Kemudian Nabi SAW mengambil segempal pasir dan melontarnya,sebagai tanda menyuruh tentera Islam maju ke depan.Tentera Islam maju ke depan dan akhirnya Abu Jahal berjaya dibunuh.Tatkala Jeneral mereka mati,maka lari bertempiaranlah tentera kafir quraisy tanda kekalahan.

Semoga Sirah ini menjadi pengajaran buat kita ……

Sumber : Scripters
Read More

8 Langkah Supaya Allah SWT Mencintai Kita


Assamualaikum
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alangkah bahagianya hidup ini jika kita disayangi dan dicintai, apatah lagi jika yang menyayangi dan mencintai kita itu adalah Tuhan yang menciptakan kita, Raja segala Raja. Pastinya Allah akan sentiasa dekat dengan hamba yang menjadi kekasihNya dan sentiasa menolong dan membimbingnya ke arah keselamatan dan kebahagiaan, di dunia dan di akhirat. Sebenarnya petua-petua untuk disayangi dan dicintai Allah ada di dalam al Quran.

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri.” [al Baqarah:222]

” Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [ali Imran:31]

“Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.” [ali Imran :146]

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” [ali Imran: 159]

“Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan.” [al Maidah: 93]

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa.” [at Taubah:7]

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” [al Mumtahanah:8]

“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” [as Saff :4]



Daripada ayat-ayat al Quran di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa untuk menjadi hamba Allah yang dicintaiNya, kita haruslah:

1. Sentiasa bertaubat dan mensucikan diri (zahir dan batin).

2. Sentiasa melakukan segala apa yang diperintahNya (melalui RasulNya) dan meninggalkan segala laranganNya.

3. Sentiasa bersabar.

4. Sentiasa bertawakkal.

5. Sentiasa berbuat kebajikan.

6. Bertaqwa.

7. Sentiasa berlaku adil.

8. Berjuang di jalan Allah dalam satu barisan. Sesungguhnya cinta Allah itu tiada tandingan.

Ya Allah, kami mencintaiMu…

Sumber : Scripters
Read More

Sunday, August 14, 2011

Bila Memuji ...

Assalamu'alaikum
Bismillahirrahmannirrahim Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Memberikan pujian kepada orang lain adalah termasuk di dalam komunikasi. Saya ingin menyentuh mengenai cara memberi pujian kepada orang. Ini kerana kadang-kadang, dengan pujian kita itu mampu menaikkan semangat orang dan kadang-kadang boleh merosakkan hidup mereka juga.

Dalam Islam, sesungguhnya pujian semata-mata kerana Allah, dan untuk Allah jua.

Islam melarang kita memberi pujian yang melampau kepada manusia kerana bimbang akan timbulnya perasaan riak dan takbur. Bahayanya memberi pujian ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Diriwayatkan, Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda s.a.w menambah: "Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Ini menunjukkan sekiranya kita mahu memberi pujian kepada seseorang, kita kena dahulukan dengan pujian kepada Allah. Kerana segala pujian itu, kita tujukan kepada Allah dan sesungguhnya segala kelebihan yang ada pada seseorang itu diberi oleh Allah s.w.t. Dengan itu, teman atau orang yang mendengar pujian itu akan sedar bahawa dia tidak memiliki apa-apa sekiranya tidak dikurniakan Allah dengan segala kebaikan atau kelebihan tersebut.

Pujian yang diberi itu kadang-kadang membuatkan orang yang mendengarnya mempunyai dua keadaan. Samada senang dengan jawapan itu atau terkadang tidak tahu apa nak dijawab/ serba salah.

Contoh selalu yang kita dengar:

"Awak ni cantiklah."
Jawapan yang selalu kita dengar:
"Eh, ye ke?" dan sebagainya.

Bagi mereka yang memang menanti untuk dipuji akan merasa gembira dan kegembiraan itu akan ditakuti membawa kepada dosa. Ia mampu untuk menjadikan orang tersebut berbangga diri dan merasakan dirinya saja yang terbaik. Mafhum hadis Rasulullah s.a.w. :

"Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli Syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka." [Hadis riwayat Ibn Marduwaih]

Namun begitu, kita perlu membezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang.

Niat perlu dijaga sepanjang waktu. Contoh pujian atau penghargaan kepada isteri/ suami dan anak-anak, teman-teman atau sesiapa sahaja.

Dan seeloknya kita mengucapkan ucapan tahniah sekiranya sesuatu kebaikan yang dia terima sebagai penghargaan.

Oleh itu, mulai sekarang mari kita sama-sama melakukan perubahan. Kita memberi pujian secara ikhlas kepada anak-anak kita, pasangan, teman-teman atau sesiapa saja dengan pujian terhadap Allah dahulu dan seterusnya memberikan penghargaan kepada mereka.

Cara beri pujian. "Masya-Allah, cara awak menyampaikan ucapan tadi sangat berkesan, tahniah."

Dan sekiranya kita yang menerima pujian, teruskan lah memuji Alllah, kembalikan pujian itu kepada Allah, kerana kita tiada punya apa-apa kerana semua yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah jua.

Cara menjawab: "Alhamdulillah. Milik Allah jua. Saya cuma menyampaikan yang terbaik."

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga lisan kita agar peribadi kita sentiasa dalam keadaan baik dan mendapat berkat Allah, walaupun perkara itu jarang kita perasan dan tidak pernah terfikir dengan perkara-perkara kecil, mungkin akan menjadi bonus untuk timbangan kita di Padang Mahsyar nanti, Ameen.

Saya akhiri dengan terjemahan ayat:

"Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam." [Surah al-Fatihah, ayat 2]

Sumber : YahooGroups TemanHidup || Scripters
Read More

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...